Rullhieda0612’s Weblog
Just another WordPress.com weblog

STRES DI KALANGAN PELAJAR IPT

Selagi bernama manusia, setiap daripada kita pastinya pernah merasai pengalaman tertekan atau stres dalam kehidupan sehari-hari. Pendek kata, dalam kehidupan moden yang serba mencabar ini, stres menjadi makanan dan pakaian kita. Suka atau tidak, tiada satu hari pun yang berlalu tanpa perlu berdepan dengan situasi yang boleh mencetuskan stres.

        Menurut kajian yang dijalankan oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada tahun 2007, berdasarkan kajian dan bancian yang dijalankan mendapati bahawa dua daripada sepuluh penduduk Malaysia atau satu daripada lima penduduk terdedah kepada stres.    Oleh itu, jelaslah bahawa stres boleh berlaku kepada sesiapa sahaja. Semuanya berpunca daripada amalan  pemakanan dan gaya hidup. Lebih memburukkan keadaan, stres banyak berlaku dikalangan pelajar IPT.

        Stres menurut Kamus Dewan terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka bermaksud keadaan resah, cemas, dan tegang akibat tekanan mental dan fizikal. Oleh itu, golongan yang banyak menghadapi perasaan resah dan cemas adalah mangsa stres. Inilah yang menjadi penyumbang utama menyebabkan golongan pelajar di IPT terdedah kepada stres kerana mereka mengalami perubahan gaya hidup dari peringkat menengah kepada peringkat institut pengajian tinggi.

        Inilah senario yang bakal berlaku sekiranya diri tidak dapat menerimai perubahan besar bergelar mahasiswa di universiti yang mana ia memerlukan usaha yang keras untuk memperolehi keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan. Sistem penentuan gred bagi setiap subjek yang diambil tidak bergantung kepada markah dalam peperiksaan akhir semata-mata. Inilah yang menjadi satu pembaharuan besar bagi pelajar yang memasuki alam kampus.

        Golongan ini akan berasa stres kerana mereka dihujani dengan pelbagai tugasan yang diberi oleh para pensyarah dan pada masa yang sama, mereka

terpaksa mengulangkaji pelajaran bagi setiap subjek yang diambil untuk persediaan menghadapi ujian-ujian dan kuiz-kuiz yang biasa diadakan pada setiap sesi kelas.

        Faktor kedua yang menjadikan pelajar IPT terdedah kepada stres adalah kerana pemilihan bidang yang diambil semasa berada di IPT bukan atas kehendak diri sendiri tetapi adalah mengikut kehendak ibu bapa. Oleh itu, apabila seseorang pelajar itu tersepit antara kemahuan diri dan kemahuan ibu bapa menyebabkan dirinya berada di dalam keadaan stres. Ini boleh mempengaruhi keputusan peperiksaannya. Mempelajari sesuatu perkara yang bukan menjadi pilihan di hati, akan membuatkan individu itu menjadi seorang yang pemalas dan kurang memberi tumpuan terhadap apa yang dipelajari di bilik-bilik kuliah dan tutorial. Kesan yang bakal dihadapi ialah mengalami kegagalan dalam peperiksaan akhir bagi semester tersebut.

        Faktor ketiga yang menyebabkan berlakunya stres di kalangan pelajar di IPT ialah sikap sesetengah individu, baik lelaki mahupun wanita yang beranggapan bahawa kecantikan adalah cermin keperibadian yang mutlak. Oleh itu, ada sesetengah individu berasa rendah diri dan sukar bersosial bersama teman-temannya yang lain kerana merasakan wajah mereka kurang menyerlah berbanding dengan orang lain atau dengan kata lainnya, wajah mereka kurang cantik dan menawan seperti yang diharap-harapkan. Bagi kaum wanita, kecenderungan mereka ialah mengimpikan bentuk tubuh yang langsing, berkulit gebu, dan mempunyai wajah yang ayu ditatap oleh setiap mata yang memandang.

Naluri ini adalah sesuatu yang normal kerana setiap manusia memang  suka kepada kecantikan. Tetapi, bila ianya menyebabkan seseorang individu itu sentiasa berasa resah, ia merupakan krisis jiwa yang boleh bertukar menjadi stres yang serius dan kritikal.

        Kesannya menyebabkan seseorang pelajar itu tidak dapat menumpukan perhatian  terhadap pelajaran kerana terlalu asyik memikirkan perkara-perkara remeh ini. Sebagai contoh, soal pembelian kosmetik berjenama. Impaknya, pelajaran mereka merosot sama sekali. Situasi ini berlaku kerana mereka mengalami kesukaran untuk mengadakan perbincangan dengan teman-teman sekuliah kerana bimbang mereka akan diperhatikan dari hujung rambut hingga hujung kaki. Apa yang menyedihkan lagi, ada sesetengahnya langsung gagal dalam semester terebut akibat stress yang tidak munasabah ini.

Inilah antara tiga faktor utama yang menyebabkan terjadinya stres dikalangan pelajar IPT. Namun begitu, setiap penyakit ada penawarnya, begitulah juga dalam menghadapi stres atau tekanan, pasti ada jalan penyelesaiannya

Menurut Kaunselor Kanan di Unit Kaunseling dan Pembangunan Sahsiah, Bahagian Hal Ehwal Pelajar Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Norhazreen Mohd Nor, 31, mahasiswa di IPT perlu bijak untuk menguruskan stres dengan mempunyai kecemerlangan akademik melalui corak pembelajaran yang seimbang, kemahiran insaniah iaitu kemahiran yang membolehkan para pelajar mampu berdikari dan lebih aktif dalam pelbagai bidang di universiti serta mempunyai kekuatan spiritual yang tinggi untuk menjadi lebih bijak menguruskan diri dari stres. Tip pertama dari beliau ialah setiap pelajar perlu sentiasa berfikiran positif dan bertindak dengan rasional sekiranya mendapat tugasan-tugasan dari pensyarah. Terimanya dengan hati terbuka dan mula merancang untuk menyelesaikan tugasan tersebut dengan sistematik. Elakkan dari membuat tugasan di saat-saat akhir kerana ia boleh menyebabkan stres. Mutu kerja atau tugasan yang dilakukan di saat-saat akhir juga biasanya tidak berapa berkualiti dan mempunyai mutu yang rendah kerana ia dilakukan dalam keadaan yang tergesa-gesa.Beliau juga turut menyentuh mengenai aspek interaksi sosial pada diri seseorang pelajar itu yang mana ianya perlu berada pada tahap yang baik.

        “Hubungan interaksi sosial inilah yang menjamin hubungan komunikasi yang berkesan di kalangan teman-teman. Apabila semua orang berasa selesa dengan cara anda berkomunikasi, maka tidak timbullah sebarang salah faham yang boleh mewujudkan keadaan stres,” katanya ketika ditemui.                                                                                       

Tambah beliau lagi, amalan kerohanian juga perlu dititikberatkan dalam kehidupan seharian untuk menghindari stres. Bagi seorang muslim, ibadat solat haruslah ditunaikan sebaik mungkin kerana ianya membantu dalam menambah keimanan dan ketaqwaan terhadap Allah Taala. Wujudnya ketenangan hidup adalah melalui Keredhaan-Nya. Oleh itu, lakukanlah segala perkara yang dituntut oleh Agama Islam dan menjauhi segala larangan.

Nurhazreen juga turut menasihatkan agar anak-anak yang tersepit diantara kemahuan diri sendiri dan kemahuan ibu bapa bagi mempersiapkan diri untuk mempunyai tahap pembangunan jiwa yang mempunyai corak pemikiran matang dan tidak terlalu bergantung kepda kedua ibu bapa.

“Saya berpendapat, sebagai mahasiswa di IPT, mereka seharusnya memperlengkapkan diri dengan informasi-informasi terkini terutamanya ilmu dalam prospek pilihan kerjaya. Cuba terangkan kepada ibu bapa dengan cara yang baik tentang kelebihan program yang menjadi pilihan hati agar mereka dapat memahami. Cara ini dapat mengelakkan diri dari dibelenggu stres yang berpanjangan yang mana ianya boleh menyebabkan kejatuhhan prestasi akademik seseorang pelajar itu,” tambah ibu muda yang mempunyai tiga orang cahaya mata ini.

Hal ini turut dipersetujui oleh Masitah Busu, 57, seorang pesara guru. Beliau berpendapat bahawa anak-anak perlu diberi kebebasan memilih bidang yang mereka minati dan terbaik untuk diri mereka manakala ibu bapa berperanan untuk memberi dorongan dan galakan agar anak-anak berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai kecemerlangan.

        Pesara guru ini mempunyai lima orang anak yang berusia dalam lingkungan umur 18 tahun hingga 30 tahun, yang mana kesemua anak beliau diberi kebebasan menentukan bidang pilihan masing-masing.

“Ibu bapa haruslah bersikap terbuka untuk menerima segala pandangan dari anak-anak,Ini penting untuk kebaikan kedua belah pihak,” ujarnya lagi.

Bagi penyelesaian kepada faktor terakhir yang menyebabkan berlakunya stres dikalangan pelajar IPT iaitu terlampau obses terhadap kecantikan ialah dengan memahami Teori Attribution yang dipelopori oleh Bernald Weiner (1974) yang menjelaskan akan konsep kegagalan dan kejayaan. “Kejayaan atau kegagalan seseorang boleh disebabkan oleh empat perkara iaitu kebolehan, usaha, nasib dan kesukaran tugasan dalam pembelajaran.” Jelasnya, dalam konsep ini, kejayaan atau kegagalan seseorang tidak boleh dikaitkan dengan faktor kecantikan. Seringkali, wajah cantik dan cerminan peribadi dikaitkan dengan aspek personaliti.

Dalam konteks  sebenar, personaliti merujuk kepada pembentukan psikologi seseorang individu secara keseluruhan. Ini merangkumi perangai, kecerdasan, sentimen, sikap, minat, kepercayaan, cita-cita dan nilai. Personaliti seseorang individu dibayangi oleh kecenderungannya untuk mempunyai tingkahlaku mengikut cara tertentu (Ee Ah Meng, 1996).

Apa kaitannya kecantikan dengan personaliti? Sebenarnya, masih ramai lagi yang mempunyai tanggapan yang salah kerana menganggap bahawa kecantikan juga adalah melambangkan personaliti seseorang. di sini ditegaskan pula bahawa wajah cantik tidak langsung menggambarkan personaliti individu. Ironinya, kecantikan adalah anugerah Ilahi dan telah ditetapkan sejak azali. Ianya bersifat subjektif dan sukar dinilai secara tepat dan lengkap.

Contoh mudah, si A menyatakan bahawa si C memang sangat cantik manakala si B pula menyatakan si C sederhana sahaja. Pandangan mereka bercanggah sama sekali. Kebarangkalian yang boleh dibuat ialah, si A memilih si

C kerana merasakan yang si C berpersonaliti menarik mengikut kaca matanya. Manakala si B pula tidak beranggapan demikian. Di sini jelas terbukti bahawa personaliti merujuk kepada organisma watak, perangai, intelek, bentuk badan, cara pemikiran, perasaan, dan tingkahlaku seseorang individu. Jadi, satu kesilapan besar andainya seseorang itu mengatakan bahawa kecantikan adalah lambang peribadi.

        Satu lagi contoh ialah andaikata seseorang itu kurang menyerlah kecantikannya, tetapi mempunyai perwatakan yang menarik, berakhlak mulia dan baik hati, sudah pasti golongan ini senang didampingi. Timbal baliknya, jika seseorang itu cantik rupa parasnya, tetapi rendah moral dan akhlaknya, sudah tentu individu ini akan sukar untuk bersosial. Apa yang penting di sini ialah kecantikan tidak boleh dijadikan kayu pengukur dalam menilai hati budi seseorang. Janganlah kita terpedaya dengan kecantikan seseorang kerana wajah cantik  tidak semesti hatinya juga cantik. Oleh itu, perkara penting yang patut disyukuri ialah kesempurnaan akal kerana akal yang akan memandu diri untuk berfikir secara rasional dan membuat keputusan yang bijak dan tepat dalam kehidupan.

Hal ini turut dipersetujui oleh Wahyu Hidayati Muchlis, 22, Siswi Tahun 2 Fakulti Pengajian Al-Quran dan As-Sunnah USIM.

 “Dunia kontemporari sekarang tidak lagi memandang pada kecantikan wajah semata-mata tapi lebih kepada tahap IQ seseorang wanita itu,” katanya ketika diminta memberikan pendapat peribadi beliau.

Sebagai kesimpulannya,dalam kehidupan serba moden yang mencabar ini, stres telah menjadi sebahagian daripada proses kehidupan. Ingatlah bahawa kita bukan insan yang lemah kerana mengalami stres tetapi kita stres kerana kita hanyalah manusia biasa.

 Oleh itu, janganlah mencampuradukkan segala masalah yang ada, putus harapan dan mempunyai pemikiran- pemikiran berbentuk negatif seperti “Tiada orang lain yang mengalami tekanan seperti aku”. Elakkan dari mempunyai sikap menyalahkan diri sendiri atau melakukan perkara-perkara yang tidak baik seperti membunuh diri kerana ia adalah perbuatan yang sia-sia.

Sekalipun tidak berupaya untuk mengawal perkara-perkara yang mendatangkan keadaan stres kepada anda sepanjang masa, anda masih boleh mengawal bagaimanakah cara untuk bertindak balas terhadapnya. Oleh itu, tanganilah stres secara bijak agar hidup lebih tenang dan segala urusan harian berjalan dengan lancar.

 

About these ads

2 Responses to “STRES DI KALANGAN PELAJAR IPT”

  1. Di sini ingin disampaikan mengenai salah satu kelebihan, mengapa umat islam dianugerahkanibadat solat mengikut sunnah/ cara Rasulullah s.a.w.; mengikut kajian saintis dibahagian otak terdapat satu ruang kosong yang mana bila direndahkan(sujud/solat) akan mendapat ketenangan fikiran, jadi Alhamdulillah dipilih sebagai orang Islam. Sama2lah kita menjaga solat dan memeliharanya. Insyaallah.

  2. stress memang dah sinonim actually pd orang yg bergelar student…maklum lah cam2 benda nk kene buat…tp pepandai lah cr jalan penyelesaian nyer…


Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

%d bloggers like this: